Ilmu yang akan kita kongsi bersama pada hari ini adalah mengenai kemuliaan Ramadhan.
Ramadan tiba lagi untuk ke sekian kalinya, kedatangannya membawa pelbagai insentif untuk umat Islam yang mengharapkan keampunan dan keredaan Allah S.W.T. Sesungguhnya kedatangannya dinanti-nantikan oleh orang yang muttaqin. Hal ini demikian kerana Rasulullah s.a.w. telah memaklumkan kedatangan Ramadan dengan memberikan khabar gembira akan kedatangannya. Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan keberkatan, difardukan oleh Allah kepadamu puasa dalam bulannya, dibuka pintu langit dan dikunci pintu neraka, dirantai akan syaitan. Demi Allah terdapat padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan(Riwayat al-Nasai'i dan Baihaqi).
Selain itu, Abu Hurairah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. katanya: Pada malam pertama bulan Ramadan dirantai syaitan, dikunci pintu neraka dan tidak dibuka pintunya, dan dibuka pintu syurga dan tidak ditutup pintunya, malaikat menyeru: Wahai mereka yang mengharapkan kebaikan, majulah! Wahai yang mahukan kejahatan mundurlah (Riwayat Tirmizi).
Dalam hadith yang lain daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan melakukan qiam dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada Malam Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah akan diampuni dosa mereka yang lalu(Riwayat Bukhari). Manakala al-Tabrani memetik sebuah hadith yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. memberi jaminan yang Allah akan berselawat kepada mereka yang bersahur.
Berdasarkan hadith di atas, umat Islam sepatutnya berusaha untuk merebut peluang dan keuntungan yang terbuka luas di hadapan kita itu. Tetapi soalnya sejauh mana umat Islam boleh menghayati bahawa bulan Ramadan merupakan musim meraih kebajikan?
Mungkin ramai yang mengetahui bahawa bulan Ramadan itu istimewa untuk orang yang berpuasa; tidurnya merupakan ibadat, berdirinya merupakan tasbih, doanya mustajab, dan amalannya diganjarkan berlipat kali ganda. Kesemua ganjaran itu adalah kerana orang yang berpuasa itu menahan diri dan nafsunya serta meninggalkan segala kelazatan dan kesedapannya.
Tetapi realitinya, ramai yang mengambil kesempatan untuk tidur dalam tempoh berpuasa, walhal mereka mempunyai tugas dan tanggungan yang perlu diselesaikan. Maka tidurnya tidak lagi jadi ibadah sebaliknya dosa pula. Berapa ramai orang yang berpuasa sewaktu berdirinya dinilai sebagai tasbih, sentiasa membesarkan Allah dan sebagainya. Maka sebab itu barangkali ada orang yang membaca tasbih sambil berjalan. Sebenarnya Allah mahu umatnya sentiasa mengingati Allah sewaktu menjalani hidup ini, agar mereka tidak melakukan dosa. Begitulah hakikat tasbih.
Jika semua ini tidak dijadikan budaya bagi orang yang berpuasa, sudah tentu ganjaran puasa dan Ramadan seperti yang digambarkan di atas tidak akan diperoleh. Kalau itu tidak berlaku masakan doa umat Islam akan dikabulkan oleh Allah.
Umat Islam harus ingat yang Allah S.W.T memperuntukkan keistimewaan yang banyak ini adalah untuk kepentingan umat Islam sendiri. Antara keistimewaan itu ialah menjadikan Ramadan sebagai bulan yang utama dan penuh keberkatan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Kalau siangnya diwajibkan puasa sebagai amalan fardu, qiam pada malamnya merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan. Bahkan sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan melakukan amalan sunat pada malam Qadar itu ganjarannya sama dengan melakukan amalan fardu dalam bulan yang lain.
Selain itu, bulan Ramadan juga disebut sebagai bulan untuk menguji kesabaran umat Islam. Sememangnya kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Maka sesiapa yang melakukan amalan fardu dengan penuh kesabaran, sudah tentu ganjarannya besar iaitu sama seperti melakukan 70 amalan fardu dalam bulan yang lain.
Kesabaran suatu amalan yang agak sukar dipraktikkan dalam diri seseorang. Kalau sebelum bulan Ramadan dia sukar menjadi penyabar sudah tentu lebih sukar kalau berada dalam bulan Ramadan. Akan tetapi jika seseorang itu boleh mengawal nafsunya, pastilah dia boleh menjadi penyabar dalam bulan Ramadan.
Dalam masa yang sama, bulan Ramadan dikatakan bulan kerjasama dan bantu membantu. Bahkan dalam bulan ini, Allah menambahkan lagi rezeki kepada umat Islam yang menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa. Pahalanya sama dengan memerdekakan seorang hamba, tanpa mengira apakah jenis juadah yang disediakan itu.Dalam hal ini, ramai juga umat Islam yang menganjurkan majlis berbuka puasa sama ada di rumahnyaatau di masjid atau surau. Amalan ini wajar diteruskan malah perlu diperbanyakkan lagi. Pada hari ini, cukup kalau mereka menyumbang wang kepada masjid atau surau untuk majlis itu kerana terdapat ramai musafir atau jemaah yang melakukan jemaah Maghrib.
Suasana di tempat itu lebih sesuai berbanding dengan rumah kerana di rumah tiada kemudahan untuk mengambil air sembahyang dan tempat sembahyang yang selesa. Kadang-kadang mereka terpaksa melewatkan waktu sembahyang kerana bergilir-gilir mengambil air sembahyang atau tempat sembahyang yang sempit.
Jika sepenuh bulan Ramadan ini dapat dilaksanakan aktiviti yang disebutkan di atas, pastilah umat Islam berada dalam keadaan yang selesa di sisi Allah. Hal ini demikian menepati janji Allah bahawa pada awalnya rahmat, pada pertengahannya keampunan dan pada penghujungnya pembebasan diri dari neraka Allah.
Oleh hal yang demikian, umat Islam digalakkan supaya memperbanyakkan amalan baik pada bulan ini. Antara perkara yang perlu dilakukan ialah empat perkara; dua perkara yang sangat disukai oleh Tuhanmu dan dua perkara yang sudah semestinya manusia sukai. Dua perkara yang disukai oleh Tuhan ialah syahadah La Ilaha Illallah dan beristighfar pada setiap keadaan. Dua perkara semestinya disukai oleh manusia iaitu meminta dimasukkan oleh Allah ke syurga dan dijauhkan dari neraka-Nya.
Sebenarnya, dalam bulan Ramadan wajar kita membetulkan akidah kita kepada Allah. Maka dengan itu kita akan melakukan puasa kerana Allah demi mendapat keredaan-Nya. Begitu juga dengan amalan lain yang kita lakukan baik dalam bulan Ramadan mahupun pada bulan lain. Inilah yang dimaksudkan dengan syahadah La Ilaha Illallah.
Selain itu, umat Islam digalakkan supaya bertaubat kerana setiap orang tidak terlepas daripada
melakukan salah dan silap. Mungkin dalam melakukan ibadah kepada Allah kita tersalah niat atau terselit rasa riak dan sebagainya, maka di sini perlulah kita bertaubat. Apatah lagi kalau seseorang itu melakukan dosa dalam bulan Ramadan. Inilah yang dimaksudkan dengan beristighfar.
Mengenai dua perkara yang manusia sukai iaitu meminta dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari neraka ada kaitan dengan amalan dan taubat di atas. Maka jika umat Islam mahu dimasukkan ke dalam syurga sudah tentu mereka mesti melakukan kerja yang diperintahkan oleh Allah. Begitu juga jika mereka tidak mahu dimasukkan ke dalam neraka, wajarlah mengelak diri daripada melakukan perkara yang haram.
Tetapi adakah wujud kini orang yang berpuasa mengelakkan dirinya daripada perkara yang haram? Berbuka dengan hidangan atau sumber yang halal? Wujudkah mereka yang boleh menahan lidahnya daripada umpat keji dan adu domba? Apakah ada mereka yang boleh menghalang matanya daripada melihat yang haram? Dan adakah wujud mereka yang boleh mengikhlaskan puasanya dan qiamnya untuk Allah Azzawajalla?
Keadaan ini ternyata berbeza dengan pengalaman orang dahulu menyambut Ramadan. Ibnu Umar pernah berkata: Selamat datang bulan Ramadan seluruhnya, yang pada waktu puasanya berpuasa dan malamnya berqiam, sedangkan membelanjakan harta pada bulannya merupakan sabilillah.
Dalam hal ini Anas bin Malik berkata: Orang yang berpuasa ketika keluar dari kubur pada hari kiamat nanti akan mengenali wangian puasanya, harumnya lebih harum dari aroma kasturi. Dan dihidangkan kepada mereka hidangan dan juadah. Lalu dikatakan kepada mereka: Makanlah kamu kerana dulunya kamu lapar ketika orang lain kenyang, minumlah kerana kamu dahaga pada saat orang lain tidak dahaga, rehatlah kerana kamu penat ketika manusia lain berehat. Lalu mereka makan, minum, dan berehat pada saat orang lain sibuk dengan perhitungan (hisab) amalan mereka dengan penuh kesukaran.
Berita gembira ini pastinya datang daripada Rasulullah s.a.w. Dan para sahabat telah menghayati Ramadan dan melakukan puasa dengan sebaiknya. Malah mereka berjaya membentengi dirinya dari dosa dan maksiat. Seterusnya mereka mengikhlaskan puasanya hanya kepada Allah S.W.T sahaja.
Dalam masa yang sama, umat Islam harus merenungi nasib malang yang akan menimpa mereka yang gagal melaksanakan puasa ini dengan sebaiknya. Fikirkan nasib orang yang berpuasa tetapi masih mengkhianati saudara seagama dengannya. Fikirkan keadaan orang yang beribadat kepada Allah tetapi dengan separuh hati sahaja. Fikirkan juga orang yang lidahnya menyebut nama Allah tetapi hatinya menghala ke lain.
Kemudian, pertimbangkan betul-betul apakah puasa yang kita lakukan boleh menjadi pelindung dalam berhadapan dengan kesempitan pusara dan kepanasan Mahsyar. Apakah puasa yang dikerjakan untuk memenuhi tuntutan ibadat atau adat sahaja atau apakah puasa yang kita kerjakan merupakan puasa jasad sahaja atau membawa ke hati juga.
Oleh sebab itu, pastikan yang kita benar-benar berjaya merebut peluang yang terbuka luas di hadapan kita untuk direbut dan diisi sepenuhnya. Ingatlah sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.
Untuk itu, kita tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya mereka yang di sekeliling kita yang rata-ratanya memberikan perhatian pada dua minggu pertama Ramadan sahaja untuk melakukan qiam Ramadan baik dengan tarawih, membaca al-Quran, dan lain-lain lagi. Sebaliknya, langsungkan sehingga ke sepuluh akhir Ramadan yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Qadar.
Hal ini demikian diperkuatkan oleh Rasulullah dalam hadithnya: Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah akan diampuni dosa-dosanya yang lalu."
No comments:
Post a Comment