Pages

Thursday, December 3, 2009

Warna Kehidupan: Pengaruh program reali

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Generasi muda pelbagai bangsa condong terpedaya di luar sedar

PROGRAM realiti bukan sesuatu yang baru dan semakin mendapat perhatian ramai dengan tanggapan ia bersesuaian dengan kehendak semasa, walaupun bukan semua masyarakat mahupun negara menerimanya sebagai satu keperluan.

Negara rantau Arab umpamanya masih belum menerima program sedemikian kerana paparan budaya yang lari daripada acuan hidup mereka, tetapi malangnya di Malaysia, kemunculan program realiti seperti ini bercambah dengan pantas.

Bermula dengan Akademi Fantasia, lahir Mentor, Malaysian Idol yang kemudian bertukar jenama sebagai One In a Million, My Starz, Gadis Melayu, Mencari Cinta dan Raja Lawak, berkembang seperti wabak.

Kehadiran program realiti memberi kesan mendalam kepada sebahagian besar golongan muda negara ini tanpa mengira bangsa dan tempat tinggal mereka kerana masing-masing menaruh harapan ia menjadi medan meningkatkan taraf hidup pada kadar segera.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya generasi muda masa kini berlumba-lumba mengejar impian dalam dunia hiburan yang dianggap menjamin masa depan, tanpa memerlukan kelayakan akademik seperti dibuktikan Asmawi Ani yang menjadi kegilaan ramai selepas menjuarai Akademi Fantasia 3.

Walaupun pada zahirnya kejayaan daripada program realiti mampu memberi perubahan besar kepada individu, tetapi sejauh mana populariti individu itu berkekalan masih menjadi persoalan kerana kebanyakan daripadanya lenyap sekelip mata.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Rahimah Hamdan, berkata lambakan program realiti televisyen disambut dengan dua reaksi berbeza dalam masyarakat Melayu.

“Pertama sebagai alternatif hiburan untuk melahirkan bakat baru, manakala kedua menganggapnya sebagai wadah penjanaan budaya hedonisme. Sambutan menggalakkan kelompok pertama menyebabkan ia menjadi antara strategi pemasaran dunia penyiaran” katanya.

Baginya, walaupun program realiti televisyen dilihat sebagai usaha mencungkil bakat baru dalam bidang seni, secara tidak sedar ia sebenarnya mampu merobek cara hidup masyarakat yang berpegang kepada nilai murni bertunjangkan adat resam dan agama.

“Remaja hari ini berhadapan dengan cabaran hidup yang semakin rencam dan menakutkan berbanding kehidupan zaman dulu. Lebih membimbangkan apabila bakat baru yang dicungkil secara segera berkecenderungan mengikut budaya Barat yang terarah kepada gejala sosial,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Serdang, baru-baru ini.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa memantau rutin harian anak masing-masing agar tidak terlalu didedahkan dengan rancangan televisyen sedemikian yang boleh merosakkan fikiran mereka sekiranya silap memilih artis sebagai idola.

Peserta Program Realiti Gadis Melayu, Nurul Khusna Uma, tidak menafikan bahawa ada sesetengah program realiti hanya sekadar hiburan kepada penonton semata-mata, tetapi beliau tidak menolak ada kebaikan di sebalik setiap program realiti.

“Peredaran zaman yang semakin cepat menjadikan budaya dan kehendak remaja masa kini berbeza-beza. Program realiti yang bermula di Barat dengan mudah merebak ke seluruh dunia dan menimbulkan kebimbangan kerana tidak dikawal sehingga menjurus kepada masalah sosial,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, beliau yakin setiap program ada kelebihan dan kekurangan selain bergantung kepada peserta untuk mempertahankan jati diri atau memilih terpesong dari landasan sebenar.

“Apa yang pasti, etika, akhlak dan didikan agama secara menyeluruh penting diberi penekanan kerana ia benteng dan bekalan untuk menjalani kehidupan seharian agar tidak timbul masalah pada kemudian hari,” katanya.

Beliau tidak menolak program realiti hiburan yang ditiru dari Barat dapat menambah kepelbagaian segmen hiburan di Malaysia dengan tujuan melahirkan penyanyi pasang siap tanpa jaminan kepada peserta.

“Tak semua program realiti hiburan memberi kesan negatif. Rancangan Gadis Melayu umpamanya menerapkan nilai budaya timur dan etika penggunaan bahasa Melayu secara formal, boleh dianggap usaha media penyiaran meningkatkan kefahaman budaya Melayu,” tegasnya.

No comments: